twitter
rss


Cerita  rakyat 
Bacaan  luas

                       


                                                   
                      



                                        Anjing dan bayang - bayangnya
  Di dalam sebuah kampung, ada seekor anjing yang sudah tua lagi terbiar. Tidak ada sesiapa yang mahu mendekati apatah lagi untuk memeliharanya.  Sebelum ini, anjing tersebut telah dipelihara oleh satu keluarga  berbangsa Cina. Setiap hari makanannya sedap belaka dan makanannya pula disediakan mengikut masa yang tepat. Bulunya cantik berkilat kerana sentiasa disikat dan dimandikan oleh tuannya.  Apabila ia berasa lapar, ia akan terus menuju ke arah pinggan yang berada di hujung beranda.  Tetapi apabila ia sudah tua, ia dihalau seperti anjing kurap. Betul kata pepatah melayu anjing kurap bermaksud sesuatu yang tidak elok dan tidak berguna lagi.
  Setiap hari sukar untuk anjing tersebut mencari makan. Apabila terserempak dengan manusia pula, ada yang membaling batu dan ada pula yang membalingnya dengan kayu. Terpaksalah anjing itu lari menyelamatkan dirinya kerana takut terkena batu atau kayu. Kadang kala hinggap juga batu atau kayu di kaki atau badannya. Apatah lagi luka dan lebam di kaki atau badannya. Tiap kali anjing tersebut terpaksa merayau-rayau di kawasan sampah sarap dengan mengharapkan agar ada saki baki makanan yang boleh dimakan untuk mengisi perutnya yang lapar.  Pada suatu hari, sedang anjing itu berjalan-jalan di satu kawasan kampung, ia telah terlihat seketul tulang. Hatinya sangat gembira kerana hari itu merupakan rezekinya yang tidak disangka-sangka. Cepat-cepat anjing tersebut menggonggong tulang tersebut dan ia pun berlari dengan sekuat hatinya agar tidak ada sesiapa yang melihatnya.
  Anjing itu pun berlari dan terus berlari sehinggalah sampai di sebuah sungai. Anjing tersebut terpaksa melalui sebatang titi untuk meneruskan perjalanannya agar dia boleh memakan tulang itu dengan tidak ada sesiapa yang akan mengganggunya. Ia melalui titi tersebut dengan penuh berhati-hati agar tulang itu tidak jatuh ke dalam sungai itu. Sambil ia melalui titi tersebut, dia melihat ada bayang-bayang di dalam sungai itu.
  Dengan perlahan-lahan dia pun melihat di permukaan air sungai itu.  Didapatinya ada seekor lagi anjing yang sedang menggonggong seketul tulang yang sama sepertinya.  Maka ia pun berfikir jika dia dapat tulang yang digonggong oleh anjing di dalam sungai itu, maka dia akan mempunyai satu lagi tulang yang menjadikannya ada dua ketul tulang. Dia terus menyalak sambil menunjukkan taringnya untuk menakutkan anjing yang ada di dalam sungai itu. Dengan salakannya itu ia mengharapkan agar anjing yang berada di dalam sungai itu lari dan meninggalkan tulang yang sedang digonggongnya.
  Apatah lagi, tiba-tiba tulang yang digonggongnya pun terus jatuh ke dalam sungai. Terkebil-kebil matanya melihat tulangnya yang telah hilang dan tenggelam tidak kelihatan lagi.  Alangkah kasihannya anjing tersebut kerana dia tidak dapat merasai kenikmatan tulang yang baru sahaja diperoleh pada hari itu.






                                              




Nota Pembaca :-

Pengajaran yang dapat dari cerita di atas ialah orang tamak selalu rugi.





















3 comments:

  1. Cerita yang banyak memberi pengajaran dan blog cikgu sangat menarik.Tahniah!

  1. Terima kasih.Cerita yang banyak memberi pengajaran kepada pembaca.

  1. Blog yang menarik.. Padat dengan info. Teruskan usaha.

Post a Comment