twitter
rss


Pengenalan :-

Apa itu KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah( KSSR ) berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan.  KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu
Prinsip KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana masih sesuai dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik.  Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

PendekatanBersepadu
Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

Perkembangan Individu Secara Menyeluruh
KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

Bentuk Kurikulum
Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Enam tunjang dikenal pasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.

Tunjang Komunikasi

Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.
 
Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai. 


Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.


Tunjang Kemanusiaan

Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan  amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.


Tunjang Keterampilan Diri

Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.


Tunjang Sains dan Teknologi

Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:
•    pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
•    pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
•    pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).


Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai

Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi  Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.  

Fokus KSSR
KSSR memastikan selepas enam (6) tahun persekolahan murid mencapai standard pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap. KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik.
Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M.  Penekanan diberikan untuk literasi dan numerasi bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut.  Penekanan juga diberikan kepada kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK.
Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping menguasai kemahiran TMK, penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan, dan perkembangan sahsiah


Organisasi Kurikulum

KSSR diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan tertentu yang dikenali sebagai modul. Mata pelajaran juga diorganisasikan secara modular  iaitu kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul yang kendiri-lengkap (self-contained). Setiap modul mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti untuk dikuasai oleh murid

    Kurikulum Berasaskan Standard

KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.

 

Standard Kandungan
Standard Pembelajaran
Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Satu penetapan kriteria atau petunjuk (indicator) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan





1 comments:

  1. KSSR merupakan satu fenomena yang positif kepada warga pendidik dan generasi masa kini.

Post a Comment